Sunday, November 7, 2010

Atas dasar..


Atas dasar cinta,
Aku korbankan rasa membara,
Untuk mencintai insan selayaknya,
Akan kuserah jiwa dan raga,
Andai kelak masanya tiba.

Atas dasar perasaan,
Tidak ingin aku berdampingan,
Bersama tanpa sebarang ikatan,
Bimbang nanti ku hilang tujuan,
Akhirnya aku kecewa sendirian.

Atas dasar fitrah,
Aku ingin mengubah arah,
Mencintai berpandukan Quran dan Sunnah,
Bukan berpasangan mengikut lumrah,
Biarlah perkahwinan menjadi penyudah.

Atas dasar setia,
Ku tutup rapat tidak terbuka,
Hati yang penuh dengan rahsia,
Kujaga hingga halal bersama,
Untuk hadiahkan cinta sebenarnya.

Tidak berganjak kasih dijejak,tidak berlari cinta dicari,
Bertemu tidak berpisah pun tidak,namun ku yakin janji-Nya pasti.

CTM

Wednesday, October 20, 2010

Sampai masa


Sampai masa aku akan mengundur diri,
Sampai masa aku akan berlalu pergi,
Sampai masa semua ini hanya tinggal memori,
Sampai masa kita tidak akan bertemu lagi.

Sebelum sampainya masa itu,
Aku ingin katakan sesuatu,
Redhalah dengan apa yang berlaku,
Semoga Allah sentiasa meredhaimu.

Sebelum sampainya masa itu,
Aku ingin berpesan,
Tabahlah menempuh setiap ujian,
Hadapi ia dengan kesabaran.

Sebelum sampainya masa itu,
Aku ingin mengingatkan,
Hidup tidak semudah difikirkan,
Setiap perjalanan adanya rintangan.

Sebelum sampainya masa itu,
Aku ingin menasihati,
Tetapkan pendirian dan iman di hati,
Teruskan perjuangan tanpa henti.

Bila sampainya masa itu,
Cekalkan dirimu untuk mengharungi,
Ku harap engkau dapat menemui,
Hikmah disebalik semua ini.

Bila sampainya masa itu,
Jangan engkau berputus asa,
Ku ingin melihat engkau berjaya,
Baik di dunia dan akhirat sana,

Bila sampainya masa itu,
Ambillah masamu untuk renung-renungkan,
Erti ikhlas sebuah persahabatan,
Satu pertemuan berlandaskan iman.

Bila sampainya masa itu,
Fahamilah hakikat hidup di dunia,
Hanya persinggahan untuk sementara,
Ke akhirat jua kita akhirnya.

CTM

Aku menangis


Aku menangis,
Sedih mengenang dosa lalu,
Hanyut aku dibuai nafsu,
Dalam kemungkaran yang membelenggu,
Jiwa ini amat terganggu.

Aku menangis,
Bimbang berulang kesilapan,
Kemaksiatan yang berpanjangan,
Akhirnya aku tenggelam,
Tergapai-gapai dalam kegelapan.

Aku menangis,
Sayu merenung nasib diri,
Sesal dengan apa yang terjadi,
Terlalu lemah iman ini,
Lalai digoda arus duniawi.

Aku menangis,
Gembira melihat saudara-saudaraku,
Memberi peringatan tanpa jemu,
Melalui kata-kata dan perilaku,
Agar umat kembali bersatu.

Aku menangis,
Riang menatap wajah dan kata-kata,
Tersentuh hatiku melihat mereka,
Memperjuangkan Islam hingga ke akhirnya,
Demi Allah dan juga Rasul-Nya.

Aku menangis,
Syukur tak terkata,
Di samping teman-teman yang setia,
Mengingatkan aku setiap ketika,
Untuk menggapai redha dari-Nya.

Sudah lama aku ketawa..
Hari ini,biarkan aku menangis..

CTM

Sunday, October 17, 2010

Aku ingin merdeka


Ya Allah..aku tidak layak menetap di Jannah-Mu,
Namun tidak sanggup aku untuk berada di Jahannam-Mu,
Aku adalah hamba yang lemah dan lesu,
Tiada daya dan upayaku melainkan dengan kehendak-Mu.

Di medan ini kadang-kadang aku terkilan,
Melihat saudaraku melempar fitnah dan tohmahan,
Menurut nafsu seolah-seolah tiada akal fikiran,
Aku pun kadangkala kecundang,
Hanyut dibuai perasaan dan godaan.

Aku sering termenung memikirkan,
Perlukah aku membalas setiap tentangan,
Peperangan yang tiada berkesudahan,
Sedangkan aku dan mereka bersaudara,
Bukankah lebih baik menegur dari bersengketa?

Aku tidak sesekali ingin membenci,apatah lagi untuk menyakiti,
Aku hanyalah manusia biasa yang tidak maksum,
Seringkali melakukan perkara dosa,
Namun aku bersyukur,
Kerana sentiasa diberi peringatan oleh-Mu.

Aku sedar,
Rasa rindu dan cinta ini hadir darimu,
Namun aku salah menafsir dan hanya menurut nafsu,
Tidak pernah terlepas dari belenggu.

Mengapakah aku sedemikian?
Aku adalah hamba-Mu ya Tuhan,
Namun aku sentiasa kufur dengan kenikmatan,
Tidak pula bertahan dengan ujian.

Hari ini aku diberi peluang,
Untuk mencoret beberapa perkataan,
Aku sedar ini adalah rahmat-Mu ya Tuhan,
Memberi peluang kepada hamba pilihan.

Betapa lemah diri ini ya Tuhan,
Tanpa-Mu aku dalam kesesatan,
Berikanlah aku cahaya keimanan,
Agar bercambah rasa kecintaan.

Kepada teman-teman,
Sama-samalah semarakkan Islam,
Menuntut sebuah kebebasan,
Demi Allah, Tuhan sekalian alam.

Mungkin jalan juang kita berbeza,
Namun matlamat kita tetap sama,
Menuntut dunia untuk akhirat semata-mata,
Mengharapkan keredhaan Allah Yang Esa.

Merdeka jasad bukanlah merdeka sebenarnya,
Sedangkan fikiran terjajah oleh kafir-kafir durjana,
Merdeka sekadar bicara cuma,
Tanpa menghayati merdeka sebenarnya.

Aku ingin merdeka,
Dari jajahan manusia durjana,
Cukuplah aku menjadi hamba Tuhan cuma,
Tidak sesekali dihambakan sesama manusia.

Tiada gunanya aku petah berbicara,
Andai nikmat ini disalah guna,
Biarlah bicaraku ini menjadi tanda,
Erti syukur yang tidak terkira.

Aku tidak suka memuji-muji,
Tidak pula ingin menghina dan mengeji,
Coretan ini sekadar untuk mengingatkan diri,
Agar sentiasa sujud dan menghambakan diri kepada Illahi.

CTM

Saturday, August 14, 2010

Sahabat


Sahabat,
terima kasih kerana masih setia,
menemaniku dalam setiap suka dan duka,
mengharungi liku-liku hidup bersama,
dirimu sentiasa disisiku di mana jua.

Sahabat,
terima kasih kerana selalu mendengar keluhan,
tidak pernah jemu berkongsi masalah dan ujian,
semua itu sesekali tidak akan aku lupakan.
dirimu senantiasa dihati dan diingatan,

Sahabat,
sedarkah dirimu betapa beruntungnya aku,
setiap kekuranganku ditegur selalu,
segala kelebihanku menyedarkan aku,
bahawa diri ini sentiasa memerlukan dirimu.

Sahabat,
kata-kata ini ikhlas dariku buatmu,
supaya engkau memahami segala isi hatiku,
lama sudah ia terbuku,
hari ini kucuba ajukan buatmu.

Sahabat,
dimana saja engkau berada,
bersama kekasih ataupun keluarga,
kuingin kau sentiasa bahagia,
agar senyummu terukir sentiasa.

CTM

Thursday, May 6, 2010

Istikharah


Sebut sahaja solat sunat Istikharah, yang tergambar dalam minda kita ialah solat untuk memilih pasangan atau mencari jodoh. Itulah tanggapan umum mengenai solat sunat ini. Istikharah membawa maksud ‘meminta Allah mengilhamkan sesuatu dalam sesuatu urusan’. Istikharah adalah senjata orang beriman dalam menghadapi urusan agar dapat membuat pilihan yang tepat. Urusan itu tidak sahaja melibatkan pemilihan bakal pasangan tetapi turut merangkumi soal-soal berkaitan rumah, kenderaan, kerja dan sebagainya. Pokoknya ibadat ini memohon petunjuk tentang perkara yang menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan.

Ia sebenarnya dilakukan bagi menggantikan upacara pada zaman jahiliah iaitu meramalkan masa depan berpandukan kepada berhala dan syaitan. Ini bagi mengelakkan golongan tersebut mengambil kesempatan atas kejahilan manusia bahawa kononnya mereka mengetahui masa depan. Dalam hadis daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. mengajarkan istikharah kepada kami dalam segala urusan sebagaimana Baginda mengajar kami sesuatu surah daripada al-Quran. Sabda Baginda: Jika salah seorang daripada kamu berkeinginan untuk melakukan sesuatu, maka hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat di luar solat wajib. (Riwayat Bukhari)

Malah, menurut al-Imam al-Nawawi, seseorang yang melakukan istikharah, maka dadanya akan terbuka luas untuk sesuatu urusan, malah dia akan terlihat kebaikan pada perkara yang akan dilakukan atau sebaliknya. Al-Zamlakani pula mengatakan: “Jika seseorang mengerjakan solat istikharah dua rakaat, maka hendaklah dia setelah itu melakukan perkara yang kelihatan baginya, sama ada dia berasa senang ataupun tidak, kerana kebaikan itu berada dalam jiwanya, sekalipun jiwanya tidak menyenanginya.”

Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan seseorang yang bersolat sunat ini akan memperoleh petanda tertentu melalui mimpi atau sebagainya. Namun begitu jika berlaku petunjuk seperti itu ia merupakan nikmat Allah. Urusan yang dilakukan itu akan dipermudahkan oleh Allah dan diberikan keberkatan. Atau dalam keadaan lain, Allah akan memberikannya sesuatu kebaikan yang lain. Malahan dia akan sentiasa mendapat kebaikan dalam semua urusannya.

Sumber: http://www.radiomelayu.com/content/view/45/82/

Seseorang yang menghadapi sesuatu soal yang bersifat mudah, sedang ia sendiri masih ragu-ragu mana sebaiknya dilakukan, maka di sunatkan mengerjakan solat yang bukan termasuk wajib. Solat itu boleh saja di waktu mengerjakan sunat Rawatib atau Tahiyatul-masjid dan boleh pula di waktu malam atau pun siang, sedang bacaan sehabis Al-Fatihah dapat dipilih sekehendaknya.

Niat Solat Istikharah

Sengaja aku mengerjakan sembahyang istikharah dua rakaat kerana Allah Ta'ala

Doa Solat Istikharah

"Ya Allah, saya memohonkan pilihan menurut pengetahuanMu dan memohonkan penetapan dengan kesuasaanMu juga saya memohonkan kurniaMu yang besar, sebab sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui dan saya tidak mengetahui apa-apa. Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah, jikalau di dalam ilmuMu bahawa urusan saya ini........baik untukku dalam agamaku, kehidupanku serta akibat urusanku, maka takdirkanlah untukku dan mudahkanlah serta berikanlah berkah kepadaku di dalamnya. Sebaliknya jikala di dalam ilmumu bahawa urusan ini buruk untukku, dalam agamaku, kehidupan serta akibat urusanku, maka jauhkanlah hal itu daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya serta takdirkanlah untukku yang baik-baik saja dimana saja adanya, kemudian puaskanlah hatiku dengan takdirMu itu."

Sumber: http://www.perjalanansuci.com/Doa/SolatIstikharah.htm

Secara kesimpulannya,Allah swt yang lebih mengetahui segala sesuatu. Kita sentiasa meminta petunjuk daripada-Nya,dan Dia pun memberikan petunjuk kepada kita. Beruntunglah orang-orang yang diberi petunjuk. Sama ada kita ingin mengikuti jalan-jalan orang yang diredhai-Nya ataupun jalan-jalan orang yang dimurkai-Nya,kita sendiri yang memilihnya. Allah swt tidak sesekali menzalimi hamba-hambaNya melainkan mereka sendiri yang menzalimi diri mereka. Kita diberi akal fikiran untuk membezakan perkara yang baik dan buruk,jadi gunakanlah ia sebaik-baiknya. Tambahan pula,mata kasar sentiasa menipu manusia tetapi mata hati tidak pernah menipu kerana orang yang memiliki mata hati adalah orang yang berhati suci. Sucikanlah hati kita dengan iman dan takwa,bukan dengan kata semata-mata.Rujuklah kepada al-Quran dan Hadith dan belajarlah dengan orang yang arif tentang ilmu agama supaya kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang sesat. Buatlah pilihan yang tepat kerana pilihan itu tidak datang selalu. Alhamdulillah. Siap satu peringatan untuk aku dan orang-orang yang baca blog aku pada hari ini. Banyak lagi benda yang perlu diingat dan dititikberatkan. Semoga aku,ibu bapaku,guru-guruku,rakan-rakanku dan orang-orang yang berada disampingku serta semua umat Islam di dunia ini sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah daripadaMu ya Allah.Amin.

Thursday, April 22, 2010

Cerita Gua


BAB 1
Nama gua Danish Ezril Aqueel .Panjang dan lawakan? Mesti sekarang nie korang semua t’bayang tahap kemachoan yang gua miliki.Malangnya gua tak blh lah menyatakan pada korang jumlah handsome gua. Kalaulah gua nyatakan tentu awek you all syok kat gua. Memang fenomena alam yang kacak diminati. Gua nie bukanlah kaki perempuan . Maklumlah, org baik. Tapi masalahnya ramai sangat aweks yg cuba nak usha gua. So, gua pun terimalah coz tak sampai hati nak hancurkan hati diorang..Ish!Ish! Mulia btol hati gua..Cheewah!!Namun, disebabkan gua mulia, gua sering dianiaya manusia bertopengkan syaitan (alaa..kengkawan gualah tue)Mereka nie sesuka hati jer kata gua macam monyet..Ada ke patut!! Monyet tue berbulu seluruh badan..Gua nie bulu hidung pun boleh bilang..Kalau diorang kata gua nie gatal macam ulat bulu logiklah jugak (alamak! t’ bocor satu rahsia) . Jgn beritahu hal nie pada orang lain yek . Nanti jatuhlah populariti gua..Ok kite abaikan hal tue dan bagi gua mula bercerita.. Ceritanya bermula semenjak kehadiran pelajar baru bernama Wafa Arissa. Gua pun tak tahu kenapa gua t’tarik dgn dia. Wajahnya taklah secomel Fasha Sandha. Tapi kalau berlakon boleh tergugat hati tuan director. Tup! Tup! Diajak kahwin dibuat bini. Nak pikat dier memang susah . Ini semua sebab kengkawan gua b’pakat nak sabotaj gua. Ada kepatut digelarnya gua Mat Romeo depan Wafa Arissa. Automatiklah si Wafa tu takut nak dekat dengan gua. Busuk hati punyer kawan. Oleh sebab(cikgu gua kata lepas ‘oleh’ tak boleh guna ‘kerana’) gua memiliki sijil ngorat generasi babun tahap mutiara naga edisi ke-8 dan diiktiraf oleh pakar ngorat antarabangsa,(bapak gua le tu)gua dapat gak usha dia.Korang nak tahu macam mana dia jadi milik gua? Kalau nak tahu, kena lah baca sambungan nanti.

BAB 2
Gua nie sayang sengsangat kat t-shirt levi’s gua. Maklumlah jenama mahal. Gua t’paksa korek duit tabung untuk beli ‘benda’ nie. Licin duit tabung gua , gua koreklah duit tabung adik. Hehe! Dia tak marah, dier cuma nangis je. Adik pun satu. Kalau nak nangis, nangis je lah. Jangan report kat bapak! Bapak pun ape lagi. Dibedalnya gua sampai sekampung tahu. Habis jatuh saham gua. Jatuh pun jatuhlah. Janji dapat T-shirt tuu. Satu hari tu, gua makan kat KFC .Makan sengsorang la. Mana syok ajak adik yang besar nak sama dengan anak gajah. Kurus kering poket gua nanti. Adalah sorang hamba Allah jatuh bergolek depan gua. Biasanya kalau orang jatuh depan gua, gua dengan automatiknye akan tepuk tangan. Tapi hari tue gua bukan aje tak gelak malah, rasa macam nak nangis pulak.Air dier tue tertumpah kat t- shirt levi’s gua.Waaa!! Kalau air kosong takpe lagi,ada ke patut air milo . Gua pun angkatlah muka . Cak! Wafa Arissa tercegat kat situ. Sekelip mata je hati lilin gua cair. Muka dier tue pucat giler beb . Maklumlah , t’tumpah milo atas T- shirt mahal. Minah nie tak henti2 minta maaf. Gua yang baik nie dengan mudah memaafkannya. Dier pun menawarkan untuk basuh T- shirt gua. Gua nie selaku mahkluk 2 alam(buaya la tuu) menolak. Dia pun ape lagi, dipujinya gua tahap angel. Makin kembanglah hidung mancung gua. Hebat tak gua? Sekelip mata je si Wafa tuu boleh tabik spring kat gua. Esok tue terjadi pulak peristiwa bersejarah dalam hidup gua . Kalau nak tahu, kita tunggu nanti

BAB 3
Hari nie ,gua rasa malas nak pergi sekolah. Mak Bidan yang sambut gua lahir kata gua akan demam hari ini. Kesimpulannya , gua malas bangun tidur lagilah. Adik yang datang kejut gua kena sepak. Makin mak kejut, makin kuat gua berdengkur. Last, last bapak datang kejut gua. Dihayunnya rotan . Apalagi, terus gua buka mata. Tergopoh-gopoh gua cari tuala. Dalam hati dah niat tak nak mandi. Sejuklah pagi2. Takpe, cuci mata jelah . Bila bapak blah, gua pun sambung tidur. Hasrat dihati nak mimpi dating dengan Wafa. Jeng!Jeng! Bapak masuk bilik, disimbahnya gua air sebaldi.Gua pun tanya bapak air ape nie. Bapak cakap air kencing lembu.Apa lagi, lekas-lekas gua pergi mandi .Waktu mandi , baru Gua sedar gua kena tipu. Rumah gua mana ada bela lembu. Ish, ruginya! Rasa nak sambung tidur. Siap pakai baju sekolah, mak ajak sarapan pagi. Belum gua sempat makan, bapak dah hon kereta. Gua pun capai je lah apa ada depan mata . Masuk dalam perut kereta , gua tengok adik gelak. Rupa2nya gua tersalah capai. Ada kepatut gua ambil botol budu dengan roti. Mana ada orang dalam dunia nie makan roti perisa budu.Erm ..tapi.. rasa dier best jugak.. Alaa..kalau tak best tak kan lah air liur adik yang berjuta titik tue bleh tersasul parking kat baju gua .. Sampai tengah jalan , adik tanya gua satu soalan yang lebih susah daripada soalan fizik (Buat pengetahuan korang,perunding imej gua cakap, fizik adalah waktu yang paling sesuai untuk rehatkan mata atau dalam bahasa sainstifiknya tidur). Dia tanya kenapa gua pakai stoking warna lain sebelah. Baru gua sedar, adik gua ketawa bukan sebab roti berinti budu. Rupa- rupanya dier ketawa sebab gua pakai stoking kahwin . Malunya gua!.Habis muka gua kembang dan panas . Kalau nyorok dalam perut adik yang besar tuu pun belum tentu muat. Bapak pulak tak nak patah balik. Malang betul nasib gua. Tapi, gua tak de lah malang sangat hari tuu. Bila gua sampai sekolah, ada peristiwa baik menunggu. Kalau nak tahu kenalah baca sambungannya dalam bab 4.

BAB 4
Huh, akhirnya sampai jugak kat sekolah. Hah, bapak dah bertolak ke ofis. Inilah masanya untuk buli adik. Gua yang jahat…Ops,bukan jahat tapi nakal. Ugut cik adik montel tersayang. Dengan penuh dedikasinya, gua rampas beg dier. Gua cakap kat dia, kalau nak beg tue kena kasi kat gua dier punya stoking. Ya, Allah! Besar betul stoking dier. Kalau waktu hujan , tak payah pakai payung. Ambil stoking dier je buat bungkus badan. Gerenti tak basah. Nak dipendekkan citer, gua terpaksa juga pakai stoking kahwin tuu. Bukan sebab gua takut adik. Adik tuu badan sahaja besar gajah, tapi penakut. Dier ugut gua balik. Dier cakap nak kasi tau kat bapak. Memanglah gua takut. Gua pun masuklah dalam kelas dengan muka yang bengang. Tengtibanya gua tengok Si Wafa tuu senyum kat gua . Habis terbang semangat gua. Nasib baik gua tak jadi arwah. Kalau tidak ,tentu Malaysia kehilangan seorang pemuda yang kacak, bijak, kiut, happy- go- lucky macam gua. Waktu rehat, si Wafa nie letak satu bekas makanan atas meja gua. Dier buat kuih istimewa untuk gua sebagai tanda dia minta minta maaf. Gua pun apa lagi, terus melompat ke angkasa. Gua rasa sayang nak makan kuih nie. Balik rumah nanti, gua nak awetkan kuih nie. Wafa nie memang bagus dibuat bini. Dah lah cantik, pandai memasak pulak tu. Wafa nie tersenyum malu. Dier tanya gua kenapa tak pergi rehat. Gua pun beritahu kat dier yang gua nie puasa sunat. Gua beritahu dier lagi, kuih nie gua nak buat juadah berbuka. Alah, apa salahnya bohong sunat sekali- sekala.Sebenarnya duit belanja yang bapak bagi bulan nie dah habis. Gua belanja buat beli kasut B.U.M. Baru sepadan dengan T-shirt levi’s gua yang original tue. Pagi nie pulak, terlupa nak pau duit adik. Nasib baik perut gua tak berbuyi depan Wafa . Nanti korunk akan tahu apa berlaku kat kuih tue..

BAB 5
Semalam, gua dah pesan kat mak supaya kejut gua awal pagi. Gua cakap kat dier, gua dah insaf. Gua tak nak tinggal solat subuh lagi. Mak pun apa lagi. Senyum lebar sampai ketelinga. Adik pula geleng kepala tanda tak percaya. Memang dasar hati berbau. Mak tak tahu. Sebenarnya, gua bangun awal pagi sebab tak sabar nak jumpa Wafa. Hari nie, gua jerit sekuat hati. Bukan sebab bangun lambat. Tapi sebab budak gergasi tuu makan kuih gua sampai habis. Licin 251%. Kalau diikutkan hati, dah lama gua jahit mulut badak sumbu tue. Tapi, habislah gua kalau bapak tengok. Sapa susah ? Gua juga yang susah. Gua pun memaafkan dier dengan hati yang tak pernah ihklas. Bekas kuih pemberian Wafa , gua isi dengan surat. Bukan surat cinta. Surat seorang teman je..Habis sebotol perfume adik gua sembur kat surat tue..Alaa.. Lepas tue gua isi r balik botol tue dengan air longkang sampai penuh..Hehe..Ish, ringan pulak bekas kuih si Wafa .Gua pun kidnaplah barang adik buat kali ke-199.Adik nie adalah cucuk sanggul yang cantik.Die tak bleh pakai coz rambut pendek..Gua pun ambil jer r kesempatan yang ada.. Gua isi bekas kuih Wafa dengan surat dan cucuk sanggul. Bila sampai sekolah, gua letak atas meja Wafa. Tersipu-sipu buah hati gua(siapa lagi kalau bukan Wafa) menahan malu. Aduh, manisnya! Nasib baik tak gugur jantung gua. Gara2 si Wafa, gua tak dapat nak belajar hari nie. Pusing kanan , nampak Wafa senyum. Pusing kiri, nampak Wafa gelak. Pusing belakang, nampak Wafa kenyit mata. Pusing depan, nampak Cikgu Aina cekak pinggang. Dia cakap, kalau gua pusing2 lagi dia humban gua dalam laut. Gua pun tumpukan perhatian suku penuh. Belum sampai sepuluh minit, gua terus lentok. Cikgu Aina pun apa lagi,terus dia halau gua keluar macam kambing gurun. Habis semua orang dalam kelas gelakkan gua. Wafa je yang tak gelak. Nie yang buat aku makin sayang kat Wafa. Bila gua balik rumah, ada kejutan untuk gua. Kalau korang nak tahu, korang semua kenalah baca sambungannya nanti.

Bab 6
Sekarang musim hujan. Biasanya, waktu petang macam nie, hujan turun lebat. Memang syok kalau tidur time nie. Tapi, petang tuu, mata gua tak mahu lelap. Dah penat gua berusaha. Last, last gua buka buku fizik. Kalau gua baca buku teks fizik, memang secara automatiklah rasa mengantuk akan muncul. Sehelai demi sehelai gua belek. Majik betul! Gua langsung tak ngantuk. Entah apa yang gua baca, gua pun tak faham. Tiba2 gua jumpa sepucuk surat. Gua rasa berdebar- debar. Isi kandungan tuu gua baca dengan cermat.Sudah baca, gua cium surat tuu seratus dua kali. Lepas tue, gua cium buku teks fizik. Secara tiba2 gua rasa fizik dan guru fizik menarik. Sebenarnya , Wafa(bakal bini gua)yang tulis surat tue.Dia setuju nak jadi teman gua. Bukan teman hidup, tapi kawan. Gua masih muda untuk jadi laki orang. Sedang gua lompat macam beruk, bapak t’jengul disebalik pintu. Disergahnya gua. Dia kata gua nie kacau dier tidur. Muka gua yang putih bersih dan suci murni nie, terus b’tukar jadi biru laut. Lepas tuu, dier campak kunci motor atas katil gua. Rupa2nya dia beli motor khas untuk gua. Dier kata , dier dah bosan tengok gua kebas motor kesayangannya. Alaa, motor yang bapak bawak dating dengan mak waktu muda2 dulu. Gua pun terus peluk bapak. Terkejut beruk bapak. Bapak nie bila t’ kejut, dier akan melatah. Habis dibukanya silat pulut. Jenuh gua lawan dier. Adik yang mucul entah bila, ketawa t’kekek2 . Habis b’gegar tali perut dier. Naik bulu roma gua tengok. Akhirnya bapak b’henti melatah. Itupun selepas kain pelekatnya t’londeh. Baru gua sedar , muka bapak merah lagi daripada muka Wafa bila malu. Adik yang ketawa tak sudah2 dijeling bapak. Adik pun lekas2 masuk bilik dengan muka seposen(biarpun hakikatnya nilai muka adik tak lebih daripada satu sen)Lepas bapak keluar,gua gelak sampai b’gegar katil. Lepas ketawa, rasa rindu pulak kat Wafa.Sejak hari tue, gua berusaha usha Wafa sampai jadi awek gua. Lepas tue...............

BAB 7
Wafa senyum kat aku. Perlahan- lahan dier hampiri gua. Dier cakap dier dah lama pendamkan rasa cinta pada gua. Hati gua berdegup kencang. Makin lama makin laju. Bunyinya jelas macam bunyi motorboat. Wafa hulurkan tangan dier. Gua dengan pantas sambut.Eh, tangan Wafa nie banyak bululah. Dah lah berbulu, penuh parut macam lanun pulak. Kalau berlakon citer hantu, boleh dapat top ten dalam carta era. Alamak body dier berketul- ketul. Mesti pergi gym tiap2 hari. Dier sentuh tangan gua. Mak, wei! Kasarnya! Kalah tangan apek jual besi dekat sebelah rumah gua. Lepas tuu Wafa tampar muka gua 5 kali. Suaranya bertukar menjadi garau. Rupa2nya gua mengigau. Din yang t’cegat kat penjuru katil tersengih(Huish...Gua ingat hantu tak de gigi)
Din nie member kencing( Alamak, salah eja! Member kamcinglah)sejak minit pertama gua menetap di bumi. Nasib baik gua dan Din tak lahir dalam satu perut. Kalau tak, mesti rosak kehenseman yang gua miliki. Din nie ajak gua buat projek besar. Dia siap bawak pelan lagi. Tak sampai hati gua menolak. Dalam hati dah bertekad, inilah kali akhir gua buat jahat. Lepas nie, gua nak jadi baik demi Wafa. Diulang, demi Wafa. Din ajak gua nyakat Peah .Ops, Pearl lah.Pearl nie tak lah lawa. Wajahnya pun, tak lah putih. Atau dalam bahasa lebih senang tanpa belit2, dier nie hitam legam. Dah lah legam, berkilat pulak tuu. Bontot kuali mak yang hitam tuu boleh jatuh tempat kedua kalau dibandingkan dengan Pearl. Alamak, tersalah buat dosa lagi! Pearl nie, pernah cuba nak tackle gua. Tapi, gua buat muka sardin mentah je.Habis tuu tak kan lah nak layan Pearl yang ‘comel’ tuu.Eee seram gua! Lain pulak dengan Din. Dier nie dah lama syok dengan Pearl . Pearl putih nie buat sombong. Dier kutuk muka Din kematu macam hantu..Lepas tue dier kasi sepeket kertas pasir kat Din untuk licinkan muka.. Mestilah member gua nie bengang. Din pun terus bersumpah nak balas dendam. Gua sebagai kawan terus galakkan niat murni dier. Kawan mestilah sokong kawan. Korang nak tahu apa projek gua dan Din?Kalau nak tahu, kenalah baca kisah sadis ini nanti.

BAB 8
Gua nie, dengan rasminya berpakat dengan Din nak tembak minah kuali(dah muka Pearl ‘putih’ macam kuali) dengan senapang tak de lesen(senapang buatan sendirilah). Pelurunya free. Alah air longkang je. Belakang rumah gua pun banyak. Dengan semangat yang berapi, kami pun pergilah ke tempat lepak Pearl(alah, dekat bus stand bersebelahan warung Pak Mat kepala kemik) dengan motorsikal gua. Yelah! Tak kan nak naik motorsikal Din yang bunyinya macam ayam pencen tersedak maggi. Tengah bersedia nak tembak Pearl , gua ternampak kelibat Wafa. Gua pun ape terus tegur dier. Korang jangan terkejut. Sebenarnya Wafa nie sepupu Pearl. Biler Wafa beritahu, gua terus cubit lengan gua sekali. Lepas tuu gua cubit lengan Din berkali2. Ish, gua tak percaya. Gua yakin gua hanya bermimpi. Din pun ape lagi. Diangkatnya batu sebesar penumbuk The Rock untuk ketuk kepala gua. Gua pun terus angguk kepala tanda percaya. Si Wafa nie memang rapat dengan Pearl. Jadi, secara langsungnya gua kenalah ambil tindakan positif iaitu berbaik- baik dengan Pearl . Nanti, senanglah gua tackle Wafa. . He! He! Din nie terjeling2. Nasib baik baik tak jeling Wafa..Kalau tak gua julingkan mata dier.. Din jeling gadis sebelah Wafa. Dier nie comel jugak. Wafa cakap nama dier Wafa Annissa. Dier nie adik Wafa. Hati gua rasa gatal pulak. Sabar, sabar! Lepas tackle kakak baru tackle adik. Baru nak sembang, Din ajak balik. Yelah, macammane nak tembak gagak hitam depan 2 puteri kayangan jelita. Nanti jatuhlah reputasi kami. Dalam perjalanan balik, Din pun rangka plan B untuk kacau gagak hitam. Sedang Din rancak cakap, gua pun bagi tahu kat dier yang gua nak tarik diri sebab gua nak tackle Wafa. Din senyap.Rimas gua dibuatnya. Mungkin, Din marah kat gua. Sampai kat pintu pagar rumah gua, Din tanya gua satu soalan. Dia tanya sama ada gua nak pikat Wafa Arissa atau Wafa Annissa. Din terus lompat biler gua cakap gua nak usha Wafa Arissa. Rupa2nya Din dah tangkap cintan sama Wafa Annissa. Din..Din.. Eh, bersambung lagi lah. Jgn lupa baca citer nie nanti.

BAB 9
Gua menung dalam bilik. Mestilah menungkan Wafa Arissa. Tak kan gua nak menungkan adik yang tengah ngendap gua. Entah apa yang dier nak. Lama2 gua naik geli. Gua pun terus jerkah dier. Dengan suara yang gergasi(biarpun waktu tuu dier tengah berbisik) dier merayu kat gua. Dier minta gua hantar dier kat rumah kawan. Gua yang baik nie pun bersetuju. Itupun selepas dier puji muka gua macam Edison Chen. Rumah kawan dier besar jugak. Tapi, kecik skit daripada rumah gua dengan Wafa biler kitorang kahwin nanti..Hehe.. Kawan adik ajaklah gua masuk. Dier kata dier ada sediakan kek dengan hot chocolate untuk gua. Gua yang bermuka kambing terus masuk bila dia sebut pasal makanan. Kawan adik gua cakap, kakak dier yang buat kuih tuu. Dier pun panggillah kakak dier. Ya Allah, cantiknya! Nasib baik tak tersembur air yang gua minum. Kakak dier nie bernama Maya. Cantik macam tuannya. Takpe lah, Maya nie boleh dijadikan bini no. 2. Maya suruh gua tambah, gua tolak. Biarpun perut gua waktu tuu tengah bergoncang mcm gempa bumi. Adik nie memang memalukan betul. Ditambahnya dua tiga kali kek tuu. . Lepas tuu siap boleh sedawa lagi. Bunyinya pun boleh tahan. Hanya kuat skit dari bunyi bom Amerika. Balik nanti, gua nak gam mulut adik dengan gam uhu. Maya gua(alamak, terperasanlah pulak)senyum sipu2. Lepas habis sedawa, adik tambah lagi kek. Berasap muka gua tahan malu. Kalau gua ada kat kutub utara, semua beruang kutub akan mati sebab retung. Tak pasal2 gua masuk jail sebab berjaya mempupuskan haiwan yang hampir mampus semuanya. Sebelum balik, gua sempat ambil no. handset Maya (hehe..jgn marah).Alah, org nak bagi. Rugilah kalau gua tolak. Cik adik nie jeling gua . Dier bagi isyarat nak bagi tau kat bapak. Bila keluar je, dari perkarangan rumah Maya, gua ugut nak buang dier dalam tong sampah kalau bagi tau kat bapak. Sebenarnya gua acah je. Manalah gua larat nak angkat badak air tuu. Bersambung lagi …

BAB 10
Sekarang nie gua dah ada 2 mak we. Maya dan Wafa gua dah berjaya pikat. Kedua- duanya syok kat gua. Gua pun dah ada posmen peribadi. Siapa lagi kalau bukan si Pearl dan adik yang jelita. Bila dah ada 2 makwe bermakna tanggungan gua semakin berat.Nasib baik gua tak jadi tengkorak kering. Dating dengan wafa, gua kena keluar duit. Yelah, nak belanja dia makan. Takkan nak bagi anak orang makan rumput. Nanti, bapak dia kejar gua dengan parang. Kalau dating dengan Maya, kena keluar duit lebih. Maya nie kan anak org kaya. Jadi, adiklah terpaksa jadi sumber ekonomi. Balasannya, gua kena jadi driver dier. Nazaklah gua! Tiap bulan kena tukar tayar. Susah juga biler jadi mat romeo nie. Gua pun terpaksa control cakap dengan Pearl dan adik. Nanti, rahsia gua ada 2 org makwe terbocor mcm tayar motorsikal aku.(alah, biler adik naik, secara drastiklah jadi bocor) Hanya Din je tahu rahsia gua. Dia tak bocorkan pada sesiapa. Tu pun slps gua rasuah dier maggi 20 bungkus. Habis ringan wallet gua. Din cakap dier kesiankan gua. Dier tak sanggup tengok gua bawa wallet berat2. Tapi, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya kena hempap di helicopter juga ( sengsuka hati gua je nak ubah peribahasa) Rahsia gua pun terbocor juga akhirnya. Maya dan Wafa dua2 terlepas. Padan muka gua. Hari bersejarah tuu bermula 2 minggu sebelum raya.Waktu tuu, gua dan Maya pergi beli juadah berbuka kat bazar (biarpun hari tuu gua tersengaja buat2 lupa dan terberbuka pukul 11 pagi) Maya nie beli banyak betul. Naik juling mata gua nengok. Mak cik yang jual tuu pun nampak penat layan dier sorang. Tapi takpe, bukan duit dier dan gua. Duit adik juga yang luak. Gua tersalah ambil duit dier. Adik tak kan marahnya. Gua dah beli awal2 ‘apam balik’ kesukaan dier. Mesti meleleh air liur adik sampai ke kaki kalau dier tahu. Tengah kitorang syok membeli( sebenarnya Maya sorang je) gua disapa seorang. Kalau nak tahu siapa yang sapa gua, kenalah baca sambungannya.

BAB 11
Wafa menjeling tajam. Maya yang hairan terus menyoal. Wafa suruh gua jelaskan siapa Maya. Gua panik. Nasib baik Wafa nie bukan anak beranak cicakman. Kalau tak mati cicaklah gua. Wafa terus tampar pipi gua.Ternganga orang ramai bila tengok drama sepontan. Dah lah tak payah bayar,berlaku depan mata pulak. Terketar2 gua jamah pipi (perit woi) Tanpa tunggu apa2 penjelasan, Wafa terus lari.Matanya yang berkaca buat gua rasa bersalah. Gua terlupa yang Maya ada disisi, cuba kejar Wafa. Bila Maya jerit nama gua, gua patah balik. Muka Maya berkerut2. Nasib baik masih cantik. Kalau tidak tentu gua tertukar Maya dengan nenek yang jual lemang dekat sebelah Maya. Maya tak nak dengar penjelasan gua. Dier suruh gua hantar dier balik. Gua terus pujuk, tapi tak berjaya. Dalam hati tak putus2 gua berdoa supaya Wafa terima gua balik. Maya tak henti2 membebel. Gua buat pekak aje. Entah apa yang dibebelnya. Dekat kepala gua hanya terbayang wajah Wafa. Maya terus jerkah gua. Dia kata nak turun daripada motor. Dia nak jalan kaki ke rumah.Gua yang terkejut, terus hilang kawalan .Motor gua terbabas dan terlanggar lori balak. Pandangan gua jadi kelam. Gua hanya sempat dengar suara Maya menjerit. Nafas gua hampir putus. (Mintak lah orang yang cantik2 beri penafasan dari mulut ke mulut kat gua) Akhirnya pemandangan kelam bertukar menjadi cahaya putih. Putih lagi dari muka cicak pucat. Waktu tuu gua dengar suara mak, bapak , adik ,Wafa,Maya dan Din meraung. Tapi, suara adiklah paling kuat sekali. Nasib baik tak pecah gegendang telinga gua. Gua rasa takut sangat. Lepas nie , gua nak berubah. Gua nak study fizik betul2. gua tak nak tidur waktu cikgu Aina ngajar. Dan yang paling penting, gua tak nak bercinta lagi. Sejak hari tuu nasib gua berubah. Kalau korang nak tahu macam mana, kenalah baca sambungannya nanti. Tapi, korang kenalah sediakan tisu 4 kotak. Yelah, 3 kotak untuk gua dan sekotak lagi untuk korang semua.

BAB 12
Gua buka mata luas2. Lepas tuu aku gosok mata aku. Memang pelik. Sepatutnya gua ader kat hospital(blh tgk nurse comel2) Rupa2nya gua ader kat rumah. Gua pun terus tengok cermin. Muka dan badan gua okey. Gua tetap hensem macam dulu. Gua pun dengan sesuka hati buat kesimpulan yang gua tak cedera. Ish, tak puas pulak tengok cermin. Biasalah tuu, wajah hensem memang tak kan bosan dipandang(Hehe..)Lepas sejam puji diri-sendiri, gua turun ke bawah untuk sarapan pagi. Alamak, terlupa pulak hari nie puasa. Takpelah, org sakit tak payah puasa. Gua pun buka tudung saji senyap2. Aik, kosong je. Takpelah, gua tolong rasmikan kuih raya lah pulak. Potong stim betul. Mak ada kat dapur rupa2nya. Dier dan adik tengah buat kuih raya. Gua dengar adik tanya mak , kenapa tak buat kuih siput tahun nie(kuih kegemaran gualah tuu)Biler mak dengar, mak terus nangis. Agaknya mak marahkan gua kot. Hilang selera gua nak makan. gua pun ambil keputusan untuk telefon Din. Biler dia tahu gua yang call,dier pura2 tak dengar.Terkesok hati gua. Agaknya ade sesuatu yang terjadi pada Maya kot. Gua pun pergi kat dapur. Nasib baik mak tak de. Gua pun tanya adik macam mana keadaan Maya . Adik buat tak nampak gua. Gua tahulah gua nie tak besar macam dier. Tu nak belagak lah tuu. Malas layan adik. Gua pun terus masuk bilik. Gua nampak mak tengah peluk baju raya gua. Rupa2nya mak masih sayang kat gua .Biler mak nampak gua masuk bilik, mak terus keluar. Pilu hati gua. Mak, kembalilah kepada gua(rasa macam nak nyanyi lagu Bunga2 Cinta kuat2)Gua tertengok kalendar kat dinding. Eh, esok rayalah. Gua berazam nak minta maaf dengan semua org esok. Gua nak peluk mak. Lepas tuu , gua nak peluk Maya ngan Wafa(Ops, tersalah gatallah pulak)gua nak janji dengan mak,gua nak belajar sungguh2 . Tahun depan gua akan dapat straight A’s dlm SPM.Bersambung lagi……………………………………

BAB 13
Hari nie hari raya. Gua tengok adik kucup tangan bapak dan mak. Bila gua hulur tangan nak minta maaf, ayah langsung tak sambut. Menitik air mata gua macam hujan asid . Lepas tuu , dia orang terus naik kereta. Walaupun tak de org ajak gua naik,gua tetap masuk dalam perut kereta. Rupa2nya mereka ke tanah perkuburan. Alah, nak melawat atuk le tue. Aik, kenapa diorang pergi kat kubur orang lain. Agaknya Maya dah meninggal tak. Terketar2 kaki gua melangkah. La..kubur lelaki. Agaknya kubur sepupu ayah kot. Tapi, gua rasa macam kenal je nama laki tuu. Nama dier Danish Ezril Aqueel(lawa juga nama nie) Waktu tuu jugak gua rasa nak jerit . Tuu nama gua. Kalau macam tuu, secara automatiklah gua dah matilah. Baru gua ingat semula peristiwa yang dah berlaku. Rupa2nya gua sempat mengelak daripada terlanggar lori balak. Motorsikal gua terbalik. Nasib gua cukup malang hari tuu. Ikatan balak tuu terburai.Habis timpa belakang gua.Maya pula terselamat. Dia dah cabut lari awal2. Gua tak salahkan dier. Habis belakang gua berlubang. Dah ada ulat pun. gua toleh belakang, kepala gua terus tercabut.( Sedeylah wei) Gua rasa menyesal sangat. gua nasihatkan kat korang janganlah bercouple awal2. Nanti, korang rugi duit dan masa. Korang happy ker muda2 lagi kena kongkong? Ada makwe nie leceh. Nak kacau anak org lain susah. Nyesalnya. Kalaulah gua belajar sungguh2 kan lagi bagus. Selamat tinggal mak, bapak dan adik. Semoga adik berjaya jadi kurus. Cerita nie hanyalah rekaan semata2. Takde kena mengena dengan Pak Abu, yang hidup, yang pengsan, yang mati dan yang baru kahwin dua semalam.

Credited to:
Majidatul Kamalia

Saturday, March 27, 2010

Don’t Look Back


Aku teringat kata-kata seorang teman semalam, 'don’t look back' katanya.Mungkin bagi sesetengah orang perkataan itu cukup biasa tapi bagi aku ungkapan itu cukup bermakna.
Dunia sekarang cukup moden.Kalau naik motor atau kereta,tak perlu nak pandang-pandang belakang,hanya pandang ‘side mirror’ dah boleh nampak apa yang ada di belakang.Selamat pun selamat.Kenapa aku nak pandang belakang sedangkan mata aku dah berada di depan?Takut juga terbabas kalau terpandang belakang lama-lama.Maklumlah kalau dah pandang belakang tu mana la nampak apa yang ada di depan.Baik aku pandang ‘side mirror’ tapi cukuplah hanya sekejap.Sekadar berhati-hati agar perkara di belakang tidak mengganggu atau mendatangkan mudarat kepada aku.Apa yang aku tahu,matlamat dan hala tuju aku berada di depan.Andai aku terbabas atau tersasar jalan,semua itu akan tinggal impian dan angan-angan.
Bila diimbas balik,aku banyak belajar dari perkara lalu.Namun itu semua belum cukup mematangkan aku,masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.Yang berlalu biarlah berlalu,tidak perlu dikenang lagi rasanya.Aku tidak mampu mengubah masa lalu tetapi aku masih mampu mengubah masa depan.Aku berharap hari-hari yang mendatang lebih baik daripada hari-hari yang sudah.Selama 22 tahun lebih aku hidup di atas muka bumi ini,terlalu sedikit yang aku pelajari dan terlalu banyak perkara-perkara yang tidak aku ketahui. Jikalau aku asyik memandang ke belakang,sampai bila-bila pun aku akan ketinggalan.Dari tadika ke sekolah rendah kemudian sekolah menengah sehinggalah ke universiti sekarang,ilmu yang aku ada tidak lebih dari setitik air di tengah samudera yang luas.Subhanallah,sesungguhnya Allah s.w.t yang lebih mengetahui segala sesuatu.Ya Allah,berkatilah ilmu yang sedikit yang ada pada hamba-Mu ini.Amin.

Wednesday, March 10, 2010

Apa yang aku fikirkan?


Saat aku hilang dalam keramaian, aku sebenarnya kerugian. Di saat aku berdampingan, aku hanyut dalam khayalan. Dan di saat aku sendirian, aku masih lagi bermimpi. Mimpi yang entahkan benar entahkan tidak. Petunjuk ataupun ujian, wallhualam. Walaupun kusedar semua itu hanya angan-angan, namun ku masih mengharapkan ia menjadi kenyataan. Kenapa mimpi itu yang aku harapkan? Kenapa dia yang aku inginkan? Kenapa aku dibelenggu setiap persoalan? Kenapa aku tidak mempunyai jawapan? Kerana fikiran aku tidak mampu berfikir dengan waras? Kerana hati ini dibebani banyak masalah? Kerana aku tidak mampu mengawal perasaan dengan anugerah fikiran yang Tuhan berikan? Banyak persoalan yang timbul namun jawapannya masih tenggelam timbul. Persoalan yang jelas sekarang, kenapa aku tidak memikiran sesuatu yang lebih penting tetapi sibuk memikiran sesuatu yang kurang penting? Bukankah perkara yang lebih penting sepatutnya menjadi keutamaan?

Surah Ali Imran ayat 190-191 bermaksud:
‘Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan sesuatu dengan sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.’

Ayat ini menggambarkan bahawa orang-orang yang berakal adalah orang yang memikirkan penciptaan langit dan bumi serta malam dan siang dengan menggunakan pandangan mata hati (basirah). Melaluinya, mereka akan melihat kebesaran Allah SWT lalu sentiasa bersyukur pada setiap keadaan.

Betapa besarnya kekuasaan Allah s.w.t. Allah s.w.t tidak pernah menciptakan sesuatu dengan sia-sia, namun aku yang selalu mensia-siakannya. Tidak kira betapa besar dan sukar masalah yang dihadapi, semua itu adalah ujian dari-Nya. Allah s.w.t tidak pernah sesekali membebani hamba-hambaNya.

Surah Al-Baqarah; ayat 280 yang bermaksud :

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakan, dan juga menanggung dosa kejahatan apa yang diusahakannya."

Tetapi kenapa aku sentiasa merasakan beban? Kerana lunturnya iman, kerana goyahnya kepercayaan, kerana kurangnya amalan. Namun, sehingga hari ini aku masih diberi peluang. Semoga peluang ini tidak aku sia-siakan. Semoga Allah s.w.t sentiasa merahmatiku, kedua ibu bapaku, guru-guruku dan orang-orang yang berada disampingku. Amin ya rabbal alamin.

Saturday, February 20, 2010

Terima Kasih Teman


Teman, terima kasih. Kerana sudi menemani hari-hariku, kerana sentiasa memberi peringatan kepadaku, kerana sudi menyayangiku, kerana selalu menceriakan hari-hariku. Engkau sentiasa memberitahuku, ingatlah Allah s.w.t lebih daripada mengingati dirimu. Engkau sentiasa menasihatiku agar menjadi manusia yang lebih baik. Tidak pernah sekalipun engkau membandingkanku dengan keduniaan. Walaupun seringkali aku menyakitimu, engkau sentiasa memaafkanku. Betapa mulianya hatimu teman. Semoga Allah s.w.t meredhai pertemuan dan perpisahan kita. Macam jiwang je. Pelik-pelik.

CTM