Friday, September 7, 2012

Provokasi Kata


Propaganda dunia,
Kontroversi merata,
Revolusi tanpa punca,
Transformasi hampa,
Gegar gempita,
Suara-suara menggila,
Jasad-jasad boneka,
Hamba-hamba bertanya,
Mana dia tuan empunya,
Kuli-kuli menyapa,
Dia,di atas sana,
Di atas jelata,
Mendabik dada,
Kata apa,bila laksana,
Tuli,buta belaka,
Mana akal mana kepala,
Merdeka menjajah,dijajah merdeka,
Dusta,palsu semua,
Bisu,bisulah mereka,
Aku takkan menunduk kepala,
Aku takkan membabi buta,
Aku punya cara,
Aku punya kata,
Aku aku,dia dia.

CTM

Sunday, September 2, 2012

Bangsa Jawi



Bangsa Jawi oh Bangsa Jawi,
Lupakah kamu,
Asalmu, susur galurmu,
Jawi tulisanmu,Jawi adatmu,Jawi bangsamu,
Hilangkah sudah jati dirimu?
Bangsa perkasa hampir binasa,
Bangsa berdaulat hampir hilang martabat,
Siapkan dirimu,
Pegang agamamu,
Pertahan imanmu,
Belum masanya kamu tumbang,
Belum masanya kamu hilang,
Usah,
Usah lupa pepatah lama,
Berani mati tak mati,
Berani hilang tak hilang,
Jangan,
Jangan dilupa kata orang lama,
Daripada hidup bercerminkan bangkai,
Lebih baik mati berkalang tanah.

Di rimbunan manusia yang leka,
Kamu tetap di singgahsana,
Kebenaran yang nyata,
Usah tergesa,usah memaksa,
Akan sampai satu masa,
Kamu akan mengangkat tinggi,
Maruah Bangsa Jawi,
Genggam,genggam erat,
Sehingga bara menjadi api,
Sehingga bangkit umat dunia,
Bangkit bersama,bangkit semua,
Perjuangan baru bermula,
Pasti,
Aral rintangan tidak akan putus-putus mendatang,
Namun,yakinlah,
Kemenangan menanti di penghujungnya.

CTM

Di Mana Merdeka


Suara merdeka,
Ingin sekali aku dengar,
Tapi bukan ini masanya,
Aku merdeka saat saudara-saudaraku merdeka,
Aku bebas saat saudara-saudaraku bebas dijajah,
Saat suara-suara sibuk melaungkan merdeka,
Aku terdengar pekik suara saudara-saudaraku di sana,
Saat malam benderang disinari cahaya,
Malam saudara-saudaraku bertemankan hujahan peluru buta,
Saat berkibar bendera diangkat,
Saudara-saudaraku sibuk mengangkat senjata,
Saat orang-orang kenamaan dijulang,
Mayat saudara-saudaraku berselerak bergelimpangan,
Merdeka?
Ingin sekali aku berteriak,
Namun,
Aku tidak mampu,
Aku kelu,aku kaku,aku malu.

Oh celaka, oh durjana,
Sekadar itukah yang mampu aku katakan?
Aku gila,menggila,ketawa sendiri,
Mencermin diri,
Terkesankah kata-kataku?
Pada hati-hati batu musuh di sana,
Yang menyeksa,menindas dan membunuh saudara-saudaraku?
Tidak,sesekali tidak,
Namun ku yakin,
Masih ramai saudaraku di sini,
Yang sedia membantu,yang sedang menyeru,
Doa,
Hanya itu senjata yang ada,
Hulurkan bersama,
Semoga sampai kepada mereka,
Pertolongan dari seluruh dunia.

Itu di sana,
Di sini apa ceritanya?

Negara merdeka,
Bebas merdeka,
Bebas melakukan apa saja,
Bebas melakukan apa disuka,
Oh tidak,
Aku lupa,
Hanya yang berharta bebas,
Yang miskin tertindas,
Yang berpangkat diangkat,
Yang batil dinobat,
Yang hak dihambat,
Yang beragama?
Hanya surau dan masjid tempatnya,
Tempat untuk memerdekakan hati dan rohani,
Dari jajahan nafsu,
Dari belenggu iblis,
Tapi masih tidak merdeka,
Dari hasad dengki, busuk hati manusia,
Yang menyekat kebebasan,
Aku tersekat, aku terikat,
Di telan mati emak, diluah mati bapak,
Dunia oh dunia,
Manakah tempat selamat?

Wahai syuhada,
Bergembiralah di sisi Tuhanmu,
Akhirnya dirimu telah merdeka,
Merdeka yang sebenar-benarnya.

CTM

Saturday, September 1, 2012

Hilang


Satu masa dulu,
Saat manusia sibuk bertanya,
Tentang rasa dan percaya,
Tentang cinta dan rindu,
Engkau mengajarku tentang agama,
Tentang amanah seorang khalifah,
Tentang segala-galanya,
Tanpa penat dan jemu,
Tanpa pernah berputus asa,
Meskipun aku seorang yang hina,
Tidak memiliki apa-apa.

Kini,
Telah hilang,
Permata yang bernilai,
Permata hati,
Terima kasih atas segala pengorbanan,
Aku tidak mampu untuk membalasnya,
Hanya kejayaan yang mampu ku beri,
Sebagai hadiah kecil untukmu,
Terima kasih teman,
Terima kasih,
Hanya engkau,
Yang mampu merapuhkan egoku..

CTM

Saturday, August 11, 2012

Dia..Hanya Dia


Di sebalik sang setia,
Ku intai jendela hatinya,
Membiar kelam lipatan silam,
Membiar hilang setiap kenangan,
Retak,rapuh,
Menahan kecewa lama,
Namun azamnya teguh,
Memberi cinta tanpa meminta,
Tanpa mengharap balas,
Tanpa mengharap belas.

Di sebalik sang percaya,
Ku intai gundah jiwanya,
Ampuh,
Namun teguh rasa,
Membiarkan pengkhianatan lama,
Berlalu dari hidupnya,
Biarpun janji dimungkiri,
Biarpun kata tidak dikota,
Dusta,nista manusia lainnya,
Namun percaya diri lebih utama.

Di sebalik sang perindu,
Ku renung matanya,
Antara samar dan pudar,
Ku selam fikirannya,
Melayang ke alam maya,
Di penjuru dunia,
Sendu hatinya,
Namun dia gembira,
Biar apa pun natijahnya,
Khabar suka atau duka,
Dia akur,
Dan dia masih menanti di bilahan hari-hari,
Biar rindu tidak terbalas,
Biar mimpi tidak berhias,
Kerana dia lebih mengenal,
Sepi seorang penanti.

Di sebalik sang pencinta,
Aku terlena,
Antara sedar dan jaga,
Kagum melihat dirinya,
Hatinya,jiwanya,
Diri yang penuh wibawa,
Cinta yang terlontar,
Kau kejar,kau gapai,
Tapi tidak tercapai,
Hingga akhirnya,
Dirimu tiada apa-apa,
Namun senyummu tetap terlukis,
Di rekahan bibirmu,
Seolah rekahan hatimu,
Namun tetap tabah membalut,
Tanpa bertanda,tanpa terkesan,
Di mata-mata kasar manusia.

Aku,
Siapalah aku,
Hanya terkesima,
Menaip madah sia-sia,
Tidak mampu menjadi sepertimu,
Setiamu,percayamu,rindumu,cintamu,
Terlalu menjauh,jauh dirimu dariku,
Tidurlah,
Biarkan malam menyelimuti tubuhmu,
Biarkan bulan menatap wajahmu,
Biarkan bintang hiasi mimpimu,
Biarkan aku berlalu,
Berikan ruang hatimu,
Pada insan yang selayaknya,
Jauh lebih baik dariku,
Selamat malam.

CTM

Wednesday, April 4, 2012

Pesanmu



Pesanmu,
Sesekali takkan ku lupa,
Pesanmu,
Setiap kali ku bawa bersama,
Pesanmu,
Ku ingat sentiasa sepanjang masa,
Pesanmu,
Terngiang antara lena dan jaga.

Pesanmu,
Carilah kawan teguhkan muafakat,
Hindari lawan jauhi khianat,
Pesanmu,
Suburkan Islam serata tempat,
Moga akhirat mendapat syafaat,
Pesanmu,
Usah mudah lupa diri,
Setinggi manapun aku berdiri.
Pesanmu,
Usah membenci usah mengeji,
Banyakkan muhasabah perbaiki hati,
Pesanmu,
Usah bangga mendabik dada,
Sebanyak manapun harta benda,
Pesanmu,
Usah terlalai godaan dunia,
Kuatkan iman teguhkan jiwa,
Pesanmu,
Patuhi kedua org tua,
Dapatkan restu dan redha mereka,
Pesanmu,
Berjuanglah sampai ke hujung nyawa,
Tetapkan Allah matlamat kita.
Pesanmu,
Ingati Allah sepanjang masa,
Allah sentiasa mengingati hamba-Nya.

CTM

Saturday, March 17, 2012

Bicara Untuk Wanita



Duhai wanita..

Maafkan aku kiranya coretan ini mengguris hatimu.Sesungguhnya aku adalah lelaki yang diberi amanah sebagai khalifah di muka bumi ini.

Wanita..

Ingatkah engkau akan kisah Adam dan Hawa sewaktu di taman syurga dahulu?Ketika Adam kesunyian di syurga,Tuhannya menciptakan Hawa dari tulang rusuknya.Bukan dari kakinya untuk dialasi,bukan dari kepalanya untuk dijunjung,tapi dekat dibahunya untuk dilindung, dekat jua di hatinya untuk dikasihi.Dan ingatkah engkau ketika Tuhannya melarangnya untuk mendekati sepohon pokok?Lalu dia akur dengan perintah Tuhannya.Namun tatkala Hawa digoda syaitan durjana,buah kuldi terlarang itu dimakan,dan Adam,tidak mampu untuk membantah,hanya menuruti kehendak Hawa.Pernahkah kamu terfikir akan iktibar dari kisah ini wahai wanita?Betapa lemahnya seorang lelaki itu kerana pujuk rayu seorang wanita.

Wanita..

Maha Suci Allah yang menjadikan kaumku lebih sedikit bilangannya dari kaummu.Namun sedarkah engkau?Betapa berat amanah yang perlu dipikul oleh kaumku untuk membimbing kaummu yang berganda banyaknya ?Dan sedarkah engkau,betapa sakitnya mata ini terkena panahan dek kerana sebilangan susuk tubuh kaummu yang menjadi kelemahan kaumku.Dan ternyata tidak kurang juga dari kaummu yang merasakan hebatnya melebihi kaumku.

Wanita..

Bukan kerana ramainya bilanganmu yang membimbangkan kami.Bukan kerana lemahnya dirimu yang meresahkan kami.Tapi kerana ikutkan hatimu kami mati,kerana ikutkan rasamu
kami binasa.Pandanglah dirimu,renungkan sejenak.Apakah makna disebalik perhiasan duniawi?Adakah perhiasanmu?Pemakaianmu?Kecantikanmu?Ataupun malumu yang mampu menjaga diri dan namamu?

Wanita..
Andai sumbang langkah kami,pandulah kami,andai pincang kepimpinan kami,nasihatilah kami,andai terlanjur bicara kami,tegurlah kami.Kami dilahirkan sempurna,
tetapi tidak semua yang kami lakukan adalah sempurna.Ranjau ini penuh liku,dunia ini penuh rintangan.Semoga kita semua selamat sampai ke tempat tujuan yang selamanya.
Doakanlah.

CTM