Thursday, May 6, 2010

Istikharah


Sebut sahaja solat sunat Istikharah, yang tergambar dalam minda kita ialah solat untuk memilih pasangan atau mencari jodoh. Itulah tanggapan umum mengenai solat sunat ini. Istikharah membawa maksud ‘meminta Allah mengilhamkan sesuatu dalam sesuatu urusan’. Istikharah adalah senjata orang beriman dalam menghadapi urusan agar dapat membuat pilihan yang tepat. Urusan itu tidak sahaja melibatkan pemilihan bakal pasangan tetapi turut merangkumi soal-soal berkaitan rumah, kenderaan, kerja dan sebagainya. Pokoknya ibadat ini memohon petunjuk tentang perkara yang menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan.

Ia sebenarnya dilakukan bagi menggantikan upacara pada zaman jahiliah iaitu meramalkan masa depan berpandukan kepada berhala dan syaitan. Ini bagi mengelakkan golongan tersebut mengambil kesempatan atas kejahilan manusia bahawa kononnya mereka mengetahui masa depan. Dalam hadis daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. mengajarkan istikharah kepada kami dalam segala urusan sebagaimana Baginda mengajar kami sesuatu surah daripada al-Quran. Sabda Baginda: Jika salah seorang daripada kamu berkeinginan untuk melakukan sesuatu, maka hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat di luar solat wajib. (Riwayat Bukhari)

Malah, menurut al-Imam al-Nawawi, seseorang yang melakukan istikharah, maka dadanya akan terbuka luas untuk sesuatu urusan, malah dia akan terlihat kebaikan pada perkara yang akan dilakukan atau sebaliknya. Al-Zamlakani pula mengatakan: “Jika seseorang mengerjakan solat istikharah dua rakaat, maka hendaklah dia setelah itu melakukan perkara yang kelihatan baginya, sama ada dia berasa senang ataupun tidak, kerana kebaikan itu berada dalam jiwanya, sekalipun jiwanya tidak menyenanginya.”

Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan seseorang yang bersolat sunat ini akan memperoleh petanda tertentu melalui mimpi atau sebagainya. Namun begitu jika berlaku petunjuk seperti itu ia merupakan nikmat Allah. Urusan yang dilakukan itu akan dipermudahkan oleh Allah dan diberikan keberkatan. Atau dalam keadaan lain, Allah akan memberikannya sesuatu kebaikan yang lain. Malahan dia akan sentiasa mendapat kebaikan dalam semua urusannya.

Sumber: http://www.radiomelayu.com/content/view/45/82/

Seseorang yang menghadapi sesuatu soal yang bersifat mudah, sedang ia sendiri masih ragu-ragu mana sebaiknya dilakukan, maka di sunatkan mengerjakan solat yang bukan termasuk wajib. Solat itu boleh saja di waktu mengerjakan sunat Rawatib atau Tahiyatul-masjid dan boleh pula di waktu malam atau pun siang, sedang bacaan sehabis Al-Fatihah dapat dipilih sekehendaknya.

Niat Solat Istikharah

Sengaja aku mengerjakan sembahyang istikharah dua rakaat kerana Allah Ta'ala

Doa Solat Istikharah

"Ya Allah, saya memohonkan pilihan menurut pengetahuanMu dan memohonkan penetapan dengan kesuasaanMu juga saya memohonkan kurniaMu yang besar, sebab sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui dan saya tidak mengetahui apa-apa. Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah, jikalau di dalam ilmuMu bahawa urusan saya ini........baik untukku dalam agamaku, kehidupanku serta akibat urusanku, maka takdirkanlah untukku dan mudahkanlah serta berikanlah berkah kepadaku di dalamnya. Sebaliknya jikala di dalam ilmumu bahawa urusan ini buruk untukku, dalam agamaku, kehidupan serta akibat urusanku, maka jauhkanlah hal itu daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya serta takdirkanlah untukku yang baik-baik saja dimana saja adanya, kemudian puaskanlah hatiku dengan takdirMu itu."

Sumber: http://www.perjalanansuci.com/Doa/SolatIstikharah.htm

Secara kesimpulannya,Allah swt yang lebih mengetahui segala sesuatu. Kita sentiasa meminta petunjuk daripada-Nya,dan Dia pun memberikan petunjuk kepada kita. Beruntunglah orang-orang yang diberi petunjuk. Sama ada kita ingin mengikuti jalan-jalan orang yang diredhai-Nya ataupun jalan-jalan orang yang dimurkai-Nya,kita sendiri yang memilihnya. Allah swt tidak sesekali menzalimi hamba-hambaNya melainkan mereka sendiri yang menzalimi diri mereka. Kita diberi akal fikiran untuk membezakan perkara yang baik dan buruk,jadi gunakanlah ia sebaik-baiknya. Tambahan pula,mata kasar sentiasa menipu manusia tetapi mata hati tidak pernah menipu kerana orang yang memiliki mata hati adalah orang yang berhati suci. Sucikanlah hati kita dengan iman dan takwa,bukan dengan kata semata-mata.Rujuklah kepada al-Quran dan Hadith dan belajarlah dengan orang yang arif tentang ilmu agama supaya kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang sesat. Buatlah pilihan yang tepat kerana pilihan itu tidak datang selalu. Alhamdulillah. Siap satu peringatan untuk aku dan orang-orang yang baca blog aku pada hari ini. Banyak lagi benda yang perlu diingat dan dititikberatkan. Semoga aku,ibu bapaku,guru-guruku,rakan-rakanku dan orang-orang yang berada disampingku serta semua umat Islam di dunia ini sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah daripadaMu ya Allah.Amin.