Tuesday, May 31, 2011

Sedang....


Sedang engkau dan aku sama,
Tidak mampu mengotakan kata,
Janji manis terukir di bibir,
Namun semuanya hanyalah dusta.

Sedang aku sedar,
Janji Tuhanku benar belaka,
Dan aku berpegang pada janji-Nya,
Tanpa mengendahkan janji manusia.

Sedang aku asyik dilamun cinta manusia,
Aku lupa cinta Tuhan kepada hamba-Nya,
Aku lupa cinta Rasul kepada umatnya,
Bukankah cintakan mereka yang lebih utama?

Sedang aku bercekerama,
Aku leka akan sembahyang,
Aku leka membaca al-Quran,
Aku leka dibuai keduniaan.

Sedang aku dibuai asmara,
Aku lupa akan akhirat,
Aku lupa ketibaan kiamat,
Aku kufur segala nikmat.

Sedang aku menagih simpati perempuan,
Aku lupa belas kasihan Tuhan,
Aku lupa memohon ampunan,
Aku lupa Dialah yang memberikan pertolongan.

Sedang aku pun menongkah hidup sendiri,
Sedang aku pun tidak pasti,
Sedang aku pun masih mencari,
Sedang ajal setia menanti,
Sedang maut sentiasa menemani,
Sedang akhirat alam abadi...

CTM

Wednesday, May 11, 2011

Mengenalimu sangat bermakna bagiku..


Aku masih ingat tika dan saat itu,
Saat pertemuan pertama kalinya,
Engkau mengalihkan pandangan dariku,
Tergerak hatiku untuk mengenalimu.

Engkau ceritakan kisahmu padaku,
Membuatkan aku terpaku dan terpana,
Pahit maung yang engkau tempuh,
Sukar untukku membayangkannya.

Tahukah engkau,
Aku bukan pemuda yang gagah,
Bukan pula mujahid dakwah,
Tetapi hanya insan yang lemah.

Mudah untuk berkata-kata,
Mudah juga membicarakan agama,
Namun sukar untuk terlaksana,
Teramat sukar untuk mengamalkannya.

Bilamana engkau berbicara tentang agama,
Hatiku tersentuh mendengarnya,
Engkau tidak hanya berkata-kata,
Tetapi turut mengotakannya.

Setiap rasa penat dan lelah,
Setiap titis peluh dan darah,
Engkau korbankan demi perjuangan,
Engkau relakan penuh keikhlasan.

Engkau lenyapkan egoku dengan mulia akhlakmu,
Engkau lembutkan hatiku dengan kalimah Tuhanmu,
Engkau bisikan kata-kata semangat,
Engkau hidupkan bara perjuangan yang hampir padam.

Bilamana engkau tahu,
Ada mata-mata yang tertarik,
Ada hati-hati yang tersentuh,
Pasti engkau jatuh tersujud.

Dan engkau,
Jangan sesekali untuk mencuba,
Memasuki duniaku yang gelap gelita,
Jangan pula engkau merasa,
Menggapai bintang tanpa cahaya.

Kerana muliamu seorang hamba,
Kerana hadirmu penyeri dunia,
Kerana perjuanganmu untuk agama,
Kerana matlamatmu hanya Yang Esa.

Maka teruskanlah perjuangan,
Maralah melangkah kehadapan,
Bentengilah dirimu dengan iman,
Semoga dirimu dirahmati Tuhan.

CTM