Wednesday, March 10, 2010

Apa yang aku fikirkan?


Saat aku hilang dalam keramaian, aku sebenarnya kerugian. Di saat aku berdampingan, aku hanyut dalam khayalan. Dan di saat aku sendirian, aku masih lagi bermimpi. Mimpi yang entahkan benar entahkan tidak. Petunjuk ataupun ujian, wallhualam. Walaupun kusedar semua itu hanya angan-angan, namun ku masih mengharapkan ia menjadi kenyataan. Kenapa mimpi itu yang aku harapkan? Kenapa dia yang aku inginkan? Kenapa aku dibelenggu setiap persoalan? Kenapa aku tidak mempunyai jawapan? Kerana fikiran aku tidak mampu berfikir dengan waras? Kerana hati ini dibebani banyak masalah? Kerana aku tidak mampu mengawal perasaan dengan anugerah fikiran yang Tuhan berikan? Banyak persoalan yang timbul namun jawapannya masih tenggelam timbul. Persoalan yang jelas sekarang, kenapa aku tidak memikiran sesuatu yang lebih penting tetapi sibuk memikiran sesuatu yang kurang penting? Bukankah perkara yang lebih penting sepatutnya menjadi keutamaan?

Surah Ali Imran ayat 190-191 bermaksud:
‘Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan sesuatu dengan sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.’

Ayat ini menggambarkan bahawa orang-orang yang berakal adalah orang yang memikirkan penciptaan langit dan bumi serta malam dan siang dengan menggunakan pandangan mata hati (basirah). Melaluinya, mereka akan melihat kebesaran Allah SWT lalu sentiasa bersyukur pada setiap keadaan.

Betapa besarnya kekuasaan Allah s.w.t. Allah s.w.t tidak pernah menciptakan sesuatu dengan sia-sia, namun aku yang selalu mensia-siakannya. Tidak kira betapa besar dan sukar masalah yang dihadapi, semua itu adalah ujian dari-Nya. Allah s.w.t tidak pernah sesekali membebani hamba-hambaNya.

Surah Al-Baqarah; ayat 280 yang bermaksud :

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakan, dan juga menanggung dosa kejahatan apa yang diusahakannya."

Tetapi kenapa aku sentiasa merasakan beban? Kerana lunturnya iman, kerana goyahnya kepercayaan, kerana kurangnya amalan. Namun, sehingga hari ini aku masih diberi peluang. Semoga peluang ini tidak aku sia-siakan. Semoga Allah s.w.t sentiasa merahmatiku, kedua ibu bapaku, guru-guruku dan orang-orang yang berada disampingku. Amin ya rabbal alamin.

No comments:

Post a Comment