Sunday, October 17, 2010

Aku ingin merdeka


Ya Allah..aku tidak layak menetap di Jannah-Mu,
Namun tidak sanggup aku untuk berada di Jahannam-Mu,
Aku adalah hamba yang lemah dan lesu,
Tiada daya dan upayaku melainkan dengan kehendak-Mu.

Di medan ini kadang-kadang aku terkilan,
Melihat saudaraku melempar fitnah dan tohmahan,
Menurut nafsu seolah-seolah tiada akal fikiran,
Aku pun kadangkala kecundang,
Hanyut dibuai perasaan dan godaan.

Aku sering termenung memikirkan,
Perlukah aku membalas setiap tentangan,
Peperangan yang tiada berkesudahan,
Sedangkan aku dan mereka bersaudara,
Bukankah lebih baik menegur dari bersengketa?

Aku tidak sesekali ingin membenci,apatah lagi untuk menyakiti,
Aku hanyalah manusia biasa yang tidak maksum,
Seringkali melakukan perkara dosa,
Namun aku bersyukur,
Kerana sentiasa diberi peringatan oleh-Mu.

Aku sedar,
Rasa rindu dan cinta ini hadir darimu,
Namun aku salah menafsir dan hanya menurut nafsu,
Tidak pernah terlepas dari belenggu.

Mengapakah aku sedemikian?
Aku adalah hamba-Mu ya Tuhan,
Namun aku sentiasa kufur dengan kenikmatan,
Tidak pula bertahan dengan ujian.

Hari ini aku diberi peluang,
Untuk mencoret beberapa perkataan,
Aku sedar ini adalah rahmat-Mu ya Tuhan,
Memberi peluang kepada hamba pilihan.

Betapa lemah diri ini ya Tuhan,
Tanpa-Mu aku dalam kesesatan,
Berikanlah aku cahaya keimanan,
Agar bercambah rasa kecintaan.

Kepada teman-teman,
Sama-samalah semarakkan Islam,
Menuntut sebuah kebebasan,
Demi Allah, Tuhan sekalian alam.

Mungkin jalan juang kita berbeza,
Namun matlamat kita tetap sama,
Menuntut dunia untuk akhirat semata-mata,
Mengharapkan keredhaan Allah Yang Esa.

Merdeka jasad bukanlah merdeka sebenarnya,
Sedangkan fikiran terjajah oleh kafir-kafir durjana,
Merdeka sekadar bicara cuma,
Tanpa menghayati merdeka sebenarnya.

Aku ingin merdeka,
Dari jajahan manusia durjana,
Cukuplah aku menjadi hamba Tuhan cuma,
Tidak sesekali dihambakan sesama manusia.

Tiada gunanya aku petah berbicara,
Andai nikmat ini disalah guna,
Biarlah bicaraku ini menjadi tanda,
Erti syukur yang tidak terkira.

Aku tidak suka memuji-muji,
Tidak pula ingin menghina dan mengeji,
Coretan ini sekadar untuk mengingatkan diri,
Agar sentiasa sujud dan menghambakan diri kepada Illahi.

CTM

No comments:

Post a Comment